Ada Apa Dengan Cinta (2002)

3/16/2016 07:37:00 am 0 Comments A+ a-

Rabu, 16 Mac 2016 -Hello semua! Posting kali ini kami akan membuat sedikit ulasan tentang filem blockbuster tahun 2002, iaitu Ada Apa Dengan Cinta. Filem yang menjadi fenomena sekitar tahun 2002 di Malaysia dan Indonesia ini begitu menarik perhatian lantaran kelainan mereka dalam membawa filem-filem yang berlandaskan adegan cinta klise. AADC 2 akan menyusul pada penghujung April 2016, jadi kami akan memberi sedikit ulasan tentang AADC 1.

Filem mengisarkan tentang Cinta, seorang gadis remaja yang yang mempunyai kepercayaan terhadap diri sendiri yang begitu tinggi. Cinta memiliki pendirian yang teguh, sedikit kasar tetapi sangat manja bila bersama sahabat karibnya. Cinta memiliki kelebihan dalam menulis puisi. Dalam pertandingan menulis puisi anjuran sekolahnya, Cinta selalu saja menjadi Juara sehingga beliau diberi jawatan sebagai Pengarah Editor bagi majalah sekolahnya. Cinta memiliki segala yang para gadis seusia mahukan. Keluarga yang bahagia, teman yang sentiasa ada dan Borne, lelaki idaman di sekolahnya.

Dunia cinta mula berubah perlahan-lahan apabila dia kalah buat pertama kalinya di acara pertandingan menulis puisi. Dan dia kalah di tangan seorang lelaki bernama Rangga. Lelaki yang begitu asing untuk disebut di sekolahnya. Seorang lelaki yang pendiam, sentiasa ada buku di tangannya dan angkuh lagaknya. Cinta mula berubah menjadi seorang yang lain apabila mengenali Rangga dengan lebih dekat. Kawan-kawan rapatnya mula menyedari. Keluarganya juga begitu. Jadi Ada Apa dengan Cinta?

Filem ini benar-benar membawa satu perkara yang agak mustahil untuk dilakukan di dalam sesebuah filem iaitu membawa pelbagai mesej di dalam sesuatu masa. Rangga dilihat sebagai sebuah karakter yang tidak begitu diminati di sekolahnya. Dia lebih gemar bersendiri. Berada di dalam keluarga yang ibu bapanya bercerai adalah sukar lebih-lebih lagi apabila bapanya seorang ahli politik yang dikaitkan dengan fahaman komunis. Rangga tidak mempunyai kawan di sekolah kecuali pekerja di sekolahnya. Dan orang pertama yang berjaya mengenal Rangga dengan lebih dekat ialah Cinta sehingga Cinta sendiri berada dalam dilemma sama ada memilih Rangga atau kawan-kawannya.

Elemen-elemen seperti penderaan terhadap anak-anak juga diterapkan dalam filem ini. Dapat kita lihat apabila kawan Cinta didera oleh bapanya sendiri lantaran ketagihan alkohol. Ia memberi kesan negatif pada persekitaran anak-anak. Dan elemen terpenting dalam filem ini bagi kami tentulah tentang kesusateraan Indonesia. Filem ini begitu mengangkat martabat sastera Indonesia jauh dari tanahnya sendiri. Kita diperkenalkan dengan puisi-puisi hasil penulisan sasterawan Indonesia, Chairil Anwar di mana karakter Rangga dilihat sentiasa membawa ke mana-mana buku Chairil iaitu "AKU". Filem ini benar-benar membuat anak muda tidak kira di Indonesia mahupun Malaysia untuk mula menghargai puisi. Puisi bukan sekadar kata-kata romantis, puisi melambangkan bagaimana kita bangkit untuk melawan. Puisi juga mengajar kita untuk mengenal diri kita di dalam rohani yang terdalam. Dapat kita lihat di dalam filem ini bagaimana Rangga meluahkan segala rasa di dalam dirinya di dalam puisi yang beliau menangi di Pertandingan Menulis Puisi.

Ku lari ke hutan, kemudian menyanyiku
Ku lari ke pantai, kemudian teriakku
Sepi, sepi dan sendiri 
Aku benci

Aku ingin bingar, 
Aku mau di pasar
Bosan aku dengan penat,
Dan enyah saja kau pekat
Seperti berjelaga jika kusendiri

pecahkan saja gelasnya biar ramai,
biar mengaduh sampai gaduh,
ada malaikat menyulam jaring laba-laba belang di tembok keraton putih
Kenapa tak goyangkan saja  biar terdera
Atau aku harus lari ke hutan lalu belok ke pantai?

Puisi ini menerangkan tentang betapa bencinya Rangga dengan keadaan yang menimpa dirinya. Dia tidak mahu begitu dan dia mahu lari dari semua itu.

Sampai di sini saja ulasan kami tentang Ada Apa Dengan Cinta. Dan jangan lupa, baca tulisan ini bersama lagu OST filem ini, Melly Goeslow - Bimbang. Sampai di sini saja. Moga kita bertemu lagi di pautan yang seterusnya. Terima kasih!

Rating: 9.5/10



-AIMAN HASRIN-