Laporan Seminar Hala Tuju Pendidikan Negara siri 2

3/06/2016 09:47:00 pm 0 Comments A+ a-


5 Mac 2016 oleh Nor Aiman Bin Hasrin

Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan Seminar Hala Tuju Pendidikan Negara Siri 2 yang mengetengahkan masalah tentang Dual Language Programme (DLP) sama ada ia mengancam dasar negara atau tidak. Seminar yang berlangsung di Dewan Pro-Canselor Unisel Shah Alam mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat sekeliling khususnya daripada golongan pendidik di kawasan Shah Alam.

Majlis dimulakan dengan ucapan doa dan kata aluan daripada Naib Canselor Unisel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan. Dalam ucapannya, beliau memetik tentang kepentingan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dan bagaimana rakyat negara Malaysia khususnya para pelajar aliran tinggi untuk memartabatkan Bahasa Melayu.

Turut tidak ketinggalan Y.B Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Pengerusi jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi kerajaan Negeri Selangor berucap. Dalam ucapannya, beliau mengkritik sistem pendidikan terutama yang melibatkan sistem DLP yang diamalkan di peringkat pengajian rendah, menegah dan tingi. Beliau juga mempersoalkan tentang kepentingan DLP berbanding bahasa ibunda negara sendiri. Beliau mengakhiri ucapannya dengan mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sedang berusaha keras dalam aspek pendidikan.

Seminar kemudian disambung dengan ucapan oleh Ustaz Datuk Siddiq Fadzil. Beliau memetik bagaimana di zaman para Anbiya tiada satu pun yang menggunakan dwi bahasa ketika berdakwah. Ini kerana maksud ketika terjemahan mungkin berbeza dengan apa yang ingin dimaksudkan. Beliau juga mengetengahkan bahawa Bahasa Kebangsaan boleh menjadi setaraf dengan bahasa asing untuk digunakan di zaman moden dan teknologi ini. Pihak penganjur juga memberikan slot soal jawab untuk para hadirin yang ingin menanyakan tentang hal DLP kepada para panelis.

Majlis kemudian diakhiri dengan jamuan makan tengahari oleh penganjur.